Was-was dalam Ibadah dan Cara Menghapuskannya.

loading...

 



Soalan:

Saya ada mempunyai sifat waswas yang amat tinggi. Setiap kali saya hendak melakukan sembahyang, hati saya susah nak memasang niat. Setiap kali saja saya hendak mengangkat takbir, hati saya ragu-ragu dan begitu juga ketika sembahyang, ketika membaca ayat-ayat dalam sembahyang terutama membaca 'Bismillah’, hati saya ragu-ragu sama ada bacaan saya itu betul atau tidak. Jadi bolehkah pihak Pehin Mufti dalam membantu untuk menghilangkan perasaan waswas ini dan apa yang perlu dibuat?

Jawapan:

Waswas menurut Kamus Dewan bererti perasaan sangsi, curiga dan khuatir. Dari istilah Bahasa Arab pula bererti sangkaan buruk yang merunsingkan hati atau fikiran dan godaan batin.

Menurut Imam al-Qurthubi Rahimahullah, al-Waswasah (ﺍﻟﻮﺳﻮﺳﺔ) adalah suara yang tersembunyi atau bisikan hati (dalam diri). Manakala al-Waswâs adalah nama syaitan sepertimana yang disebutkan dalam surah an-Nâs. (AlJâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân: 20/261)

Perasaan waswas berbeza dengan syak. Menurut Sayyid al-Bakri Rahimahullah, sembahyang tidak batal jika waswas timbul kerana ia adalah fikiran yang datang tanpa pilihan (ia hanyalah mainan fikiran). (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/343) Manakala sekiranya syak timbul, maka hendaklah kita teruskan dengan apa
yang kita yakini. Ini bersesuaian dengan salah satu Qâ‘idah Fiqhiyyah:

Ertinya: Keyakinan tidak dihilangkan oleh syak.

Ini bermaksud bahawa keyakinan adalah satu perkara yang tetap, manakala syak adalah satu perasaan yang mendatang. Maka sesuatu perkara itu dihukumkan mengikut apa yang tetap (yang diyakini) dan bukan yang disyaki.

Sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Abu Sa‘îd alKhudriyyi Radhiallahu ‘anhu:


Maksudnya: Jika seseorang daripada kamu syak dalam sembahyangnya, lalu dia tidak tahu berapa raka‘at telah dilakukannya. Adakah tiga atau empat? Maka buanglah syak dan peganglah apa yang diyakini (buatlah jumlah raka‘at yang diyakini). Kemudian sujudlah dua kali sujud sebelum memberi salam. Jika dia telah melakukan lima raka‘at, maka ia (kedua sujud dan duduk antaranya) menggenapkan sembahyangnya. Jika dia telah melakukan sempurna empat raka‘at, kedua sujud itu sebagai satu tanda kehinaan bagi syaitan. (Hadis Riwayat Muslim)

Mengatasi Waswas dengan Memperdalami Ilmu

Menurut Sayyid al-Bakri Rahimahullah, waswas timbul kerana lemahnya akal pemikiran dan kurangnya ilmu mengenai agama. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/214)

Sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Ibnu ‘Abbâs Radhiallahu ‘anhumâ:


Maksudnya: Seorang faqîh (ahli ilmu agama) lebih susah bagi syaitan (mendatangkan waswas) daripada seribu orang ahli ibadat (yang jahil). (Hadis Riwayat at-Tirmidzî)
Hadis yang disebutkan di atas merupakan galakan untuk kita memperdalami ilmu; khususnya ilmu agama dalam masalah ibadat, agar kita yakin dalam segala amalan kita, dan tidak mudah tewas oleh bisikan dan godaan syaitan yang cuba menimbulkan keraguan dalam amalan kita.

Jadi bagi mengatasi masalah waswas ketika sembahyang, hendaklah memperdalami ilmu mengenai sembahyang; dari segi tatacara memasang niat, mengangkat takbîratul ihram, bacaan-bacaan yang betul dalam sembahyang dan sebagainya.

Waswas pada Niat Sembahyang dan Takbîratul Ihram

Niat dari segi bahasa bererti kehendak atau tujuan di hati. Dari segi syara‘ pula bererti kemahuan untuk melaksanakan sesuatu perkara sambil terus melakukan perkara tersebut. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/206)

Jika seseorang hendak melakukan sembahyang fardhu, adalah wajib dia menghadirkan di dalam hatinya tiga syarat iaitu qashad (tujuan hendak sembahyang), ta‘yîn (menentukan sembahyang Zhuhur dan sebagainya) danta‘arrudh (pernyataan fardhu). Maka jadilah niat sembahyang fardhu Zhuhur umpamanya, seperti: “Aku sembahyang fardhu Zhuhur” atau “Aku sembahyang Zhuhur fardhu.”

Demikian juga wajib menyatakan pernyataan qashar bagi hak musâfir, dan pernyataan ‘imam’ atau ‘ma’mum’ seandainya berjemaah. (Hâsyiah I‘ânah athThâlibîn: 1/212)

Menurut Syamsuddîn Muhammad bin Ahmad asy-Syarbînî al-Khathîb Rahimahullah, adalah sunat melafazkan niat sebelum mengangkat takbîratulihrâm agar lidah dan hati saling tolong-menolong pada menghadirkan niat, dan sekaligus mengelak waswas. (Al-Iqnâ’: 1/175)

Jadi seseorang yang hendak sembahyang fardhu Zhuhur, hendaklah menghadirkan dalam hatinya tujuan sedemikian, dan sunat menyebut lafaz niatnya dengan lidah, seperti: Ertinya: Aku sembahyang fardhu Zhuhur.

Lalu terus mengangkat takbîratul ihram dengan ucapan: الله أكبر

Sambil di hatinya masih menghadirkan atau masih tertanam niat untuk sembahyang fardhu Zhuhur sehingga selesai mengucap takbir itu. Menurut Sayyid al-Bakri Rahimahullah, cara sedemikian adalah cara hakiki
menghadirkan niat yang beriringan dengan takbîratul ihram.

Menurut al-‘Allâmah al-Bujairimi Rahimahullah, pendapat yang muktamad adalah memadai menghadirkan niat beriringan dengan takbîratul ihram menurut ‘urf (kebiasaan); iaitu menghadirkan niat pada mana-mana bahagian ucapan takbîratul ihram. Sebagai contoh, tujuan untuk sembahyang fardhu Zhuhur dihadirkan pada mana-mana bahagian ucapan takbîratul ihram.

Menurut Imam al-Ghazâli Rahimahullah, adalah memadai menghadirkan niat beriringan dengan takbîratul ihram mengikut ‘urf (kebiasaan) bagi orang awam. Ini adalah kerana perlakuan sedemikian sudah dianggap menghadirkan niat untuk sembahyang. Berlainan bagi orang-orang tertentu (seperti sahabatsahabat Nabi Radhiallahu ‘anhum), maka mereka mampu menghadirkan niat beriringan dengan takbîratul ihram dengan cara yang hakiki; iaitu menghadirkan niat yang beriringan dengan keseluruhan ucapan takbîratul ihram.

Pendapat ini dibenarkan oleh Imam as-Subki Rahimahullah, dan menurutnya, barangsiapa yang tidak mengucapkan niat sedemikian, mengalami waswas yang tercela. Demikian pendapat-pendapat yang disebutkan dalam Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/212-214)

Menurut Syamsuddîn Muhammad bin Ahmad asy-Syarbînî al-Khathîb Rahimahullah, waswas yang datang ketika takbîratul ihram adalah permainan syaitan dan itu menunjukkan lemahnya akal pemikiran dan kurangnya ilmu mengenai agama. (Al-Iqnâ’: 1/180)

Menurut sebahagian ulama, berhati-hatilah jika syaitan menyerang dengan keburukan waswas. Jika terjadi sedemikian dan di luar kemampuan, maka lakukanlah seperti apa yang telah disebutkan tadi oleh Imam al-Ghazâli Rahimahullah bagi tujuan memudahkan. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/213)

Sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âla dalam Surah al-Hajj, ayat 78:


Tafsirnya: “Dan Dia (Allah) tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah-payah dalam perkara agama.”
Masalah Waswas pada Bacaan dalam Sembahyang

Menurut Ibnu al-Jauzî Rahimahullah: Antara tipu daya Iblis terhadap orang yang sembahyang ialah mendatangkan waswas pada makhraj huruf. Ada yang membaca ‘al-hamdu… al-hamdu…’ berulang kali sehingga menyebabkannya terkeluar dari adab sembahyang. Adakalanya Iblis mendatangkan waswas
ketika membunyikan tasydid (huruf bersabdu), dan adakalanya ketika membunyikan huruf dhâd pada kalimah al-maghdhûb dalam surah al-Fâtihah sehingga terkeluar air ludahnya kerana terlalu kuat tekanannya pada huruf itu. Ini merupakan waswas yang didatangkan oleh Iblis yang menyuruh mereka menyibukkan diri secara keterlaluan dan melampaui batas dalam pengucapan huruf sehingga perhatian untuk memahami bacaan berkurangan. Padahal yang dikehendaki hanyalah mengeluarkan atau menyebutkan bunyi huruf dengan betul. (Talbîs Iblîs: 183-184)

Menghadirkan Hati Bagi Menjauhi Waswas

Antara cara untuk mengatasi masalah waswas ketika sembahyang juga ialah dengan menghadirkan hati.

Menurut Imam al-Ghazâli Rahimahullah, antara cara menghadirkan hati ketika sembahyang adalah dengan mengosongkan hati dari segala perkara yang mengganggu fikiran. Perkara-perkara yang mengganggu fikiran dapat dicegah dengan menolak penyebabnya. Oleh itu, selidikilah penyebab gangguan itu. Penyebab-penyebab itu sama ada berunsur persekitaran atau dalam diri sendiri.

Adapun penyebab persekitaran adalah apa-apa yang terdengar oleh telinga atau ternampak oleh mata. Maka, seorang yang kuat niat dan azamnya untuk sembahyang tidak akan terganggu dengan apa yang didengar atau dilihatnya. Namun, orang yang lemah azamnya akan bercelaru pemikirannya, maka cara
mengatasinya adalah dengan menundukkan pandangan ke tempat sujud, atau sembahyang ditempat gelap, atau membuang benda yang boleh mengganggu fikiran, atau bersembahyang dekat dinding bagi membataskan pandangan dan mengelakkan dari bersembahyang di tempat laluan atau atas tikar yang
berukir.

Manakala cara mengatasi faktor dalam diri, adalah dengan berusaha mengosongkan fikiran dari hal-hal keduniaan dan menumpukan perhatian pada memahami apa yang dibacanya dalam sembahyang.

Maka seseorang yang hendak sembahyang, hendaklah mengingat akan dahsyatnya suasana akhirat ketika dia akan berdiri di hadapan Allah Subhânahu wa Ta‘âla.

Jika fikiran masih bercelaru, maka hendaklah meninggalkan perkara-perkara dunia yang menjadi kesukaan hawa nafsunya yang merupakan perangkap syaitan. (Ihyâ’ ‘Ulûmiddin: 1/225-226)

Firman Allah Ta‘âla dalam Surah Thaha, ayat 14:


Tafsirnya: Dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati-Ku.
Amalan Zikir bagi Orang yang Waswas

Allah Subhânahu wa Ta‘âla telah memerintahkan kita dalam Surah an-Nâs, untuk memohon perlindunganNya daripada kejahatan syaitan yang sentiasa mengintai peluang untuk mendatangkan waswas (hasutan) kepada manusia:


Tafsirnya: “Katakanlah (Wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia, Yang menguasai sekalian manusia, Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, dari kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam, yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, (iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.”
Syaitan disifatkan dengan al-Khannâs kerana sifatnya yang selalu tersembunyi dan tidak kelihatan. Dikatakan juga, kerana syaitan berundur lari jika seseorang hamba itu ingat kepada Allah. (Al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân: 20/262)

Sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Anas bin Mâlik Radhiallahu ‘anhu:


Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca pada pagi hari: (ertinya: Aku berlindung kepada Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui daripada syaitan yang direjam), maka dipelihara dia daripada
syaitan sehingga petang.” (Hadis dikeluarkan oleh Ibnu as-Sunnî)
Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam juga mengajarkan kita cara menghindari waswas sebagaimana dalam hadis riwayat Muslim:

Maksudnya: Sesungguhnya ‘Utsmân bin Abu al-‘Âsh Radhiallahu ‘anhu menghadap Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya syaitan telah menghalangi sembahyangku dengan bacaanku. Dia menimbulkan keraguan kepadaku. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Itulah syaitan yang dipanggil Khinzib. Jika engkau merasakannya, mohonlah perlindungan Allah daripadanya. Kemudian meludahlah ke sebelah kiri sebanyak tiga kali.” (‘Utsmân berkata:) Aku pun melakukan seperti apa yang dianjurkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan Allah pun melenyapkannya dariku. (Hadis Riwayat Muslim)

Jarir bin ‘Ubaidah al-‘Adawî mengatakan yang ertinya: “Aku mengadu kepada al-‘Alâ’ bin Ziyâd: “Aku dapati waswas pada dadaku.” Dia pun berkata: “Itu seperti rumah yang diawasi oleh pencuri, jika didapatinya ada sesuatu dalam rumah itu, maka dia bersegera kepadanya. Jika tidak, dia pergi meninggalkannya.” Maknanya, jika hati disibukkan dengan dzikir (mengingati) Allah, tiada peluang bagi syaitan untuk mengganggu. Tetapi syaitan mengambil peluang untuk mendatangkan waswas apabila lalai dari dzikir (mengingati) Allah.

Al-Ustâz Abu al-Hasan asy-Syâzalî Rahimahullah pernah mengajarkan sahabat-sahabatnya amalan yang boleh menghindarkan waswas dan lintasan-lintasan fikiran yang tidak baik. Beliau mengatakan kepada mereka: “Barangsiapa yang merasa sedemikian rupa, hendaklah dia meletakkan tangan kanannya di atas
dadanya, sambil membaca sebanyak tujuh kali sebelum mengangkat takbîratulihrâm:

Ertinya: Maha Suci Allah yang Maha Berkuasa, yang Maha Suci (dari kekurangan), yang Maha menciptakan (sekalian makhluk) dan yang Maha Melakukan (apa yang dikehendakiNya). Kemudian membaca ayat 19-20, Surah Ibrahim:


Tafsirnya: Jika Dia kehendaki nescaya dibinasakanNya kamu (dengan sebab kekufuran kamu) dan didatangkan pula dengan makhluk-makhluk yang baharu. Dan yang demikian itu tidaklah sukar bagi Allah melakukannya.
Sebahagian ulama juga mengatakan, digalakkan bagi orang yang terkena waswas ketika berwudhu’, sembahyang dan lain-lain untuk membaca:
sebab syaitan berundur apabila mendengar kalimat dzikir. Lebihlebih lagi, kalimat ___________ adalah induk segala dzikir.

As-Sayyid al-Jalîl Ahmad bin Abi al-Hawârî berkata yang ertinya: “Aku mengadu kepada Abu Sulaimân ad-Dârânî Radhiallahu ‘anhu tentang waswas yang menimpaku. Beliau menjawab: “Jika engkau ingin menghilangkannya, maka apabila saja engkau merasainya, bergembiralah, kerana jika engkau bergembira, waswas itu akan terputus daripadamu. Tidak ada sesuatu yang paling dibenci oleh syaitan daripada kegembiraan orang yang beriman. Jika engkau bersedih hati tentulah waswas itu akan bertambah-tambah lagi menyerang dirimu. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/214-215)

Demikianlah di antara amalan yang boleh diamalkan ketika diserang perasaan waswas ataupun lintasan-lintasan pemikiran yang tidak baik. Semoga dengan memperdalami ilmu syariat Islam juga boleh membantu untuk menghilangkan perasaan waswas dalam menjalankan ibadat khususnya dan mengharungi kehidupan umumnya, di samping sentiasa berusaha untuk menghadirkan hati mengingat Allah ketika sembahyang mahupun ketika tidak sembahyang, dan memohon perlindunganNya daripada syaitan.

Apakah hukum berjabat tangan dengan seorang perempuan yang berpangkat dalam kerajaan dalam satu majlis makan malam dan dialah yang terlebih dahulu menghulurkan tangan.


[PEHIN DATU SERI MAHARAJA DATO PADUKA SERI SETIA
USTAZ HAJI AWANG ABDUL AZIZ BIN JUNED]
Mufti Kerajaan,
Negara Brunei Darussalam.


Penjelasan sepenuhnya boleh dibaca di sini : http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2012/bil24_2012.pdf
Loading...

0 Response to "Was-was dalam Ibadah dan Cara Menghapuskannya."

Post a Comment

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close